Jun 8, 2007

::hikmah dan nikmah::

Seorang anak muda dalam perjalanan pulang ke rumah setelah bertanding dalam satu pertandingan bola sepak. Wajahnya suram kerna mengalami kekalahan dalam pertandingan tersebut. Dalam hatinya tidak habis-habis menyatakan kekecewaan dan rasa tidak puas hatinya.

Sampai di rumah, sang ayah bertanyakan tentang pertandingan tersebut. Si anak tidak mengendahkan pertanyaan ayahnya kerna terlalu kecewa. Ayah itu hanya terdiam dan melihat anaknya berlalu. Dalam diam, perbuatan si anak itu memberitahu bahawa dia sedang mengalami kekalahan..

Esoknya, saat mereka sedang bersarapan bersama. Si ayah berkata pada anaknya.

"Tolong ambilkan ayah air panas dengan seuncang teh, Azfar"

Sejurus di tangan ayah itu secawan air panas dan uncang teh, anak itu cuma memerhati tindakan lanjut bapanya dengan penuh tanda tanya.

"Azfar, tolong rendamkan uncang teh ni ke dalam cawan tu"

Anak muda itu cuma menurut. Dia memerhati rendaman teh tersebut mengeluarkan warna emas kekuningan. Bau teh itu sangat harum.

"Apa yang Azhar lihat?

"Teh lah ayah. Teh tu kembang dan keluarkan warna bila direndam air panas"



Ayah itu senyum. Perlahan direnung dan dipegang tangan anaknya.

"Nak, itulah umpamanya kehidupan kita. Lihat teh tu, bila kena air panas, ia pun mula keluarkan warna-warna teh yang sebelumnya terselindung di sebalik daun teh yang halus dan kering.

Begitulah hidup ini. Bila dirasakan saat-saat susah dan sedih, ia bagaikan terkena sesuatu yang panas dan pedih. Susah benar untuk kita terima. Tapi, disebabkan panas itulah akhirnya ia membuatkan kita nampak siapa diri kita dan apa potensi kita sebenarya..

Macam teh, gunanya sebagai minuman yang cukup sedap dan berkhasiat. Tapi hanya akan terjadi bila sudah direndam air panas dan dibubuh perasanya. Jika tak melalui zaman yang susah dan payah, kamu takkan nampak bagaimana untuk menjadi teh yang wangi dan sedap diminum..

Dengan kesusahan, barulah nanti kamu tahu di mana kekuatan dan kelemahan diri kamu..

Jadi, jangan bersedih. Kekalahan itu adalah batu loncatan kepada sebuah kejayaan. Bersusah dahulu sebelum berjaya..."

Anak muda itu mengangguk perlahan. Memandang jauh rendaman teh yang makin pekat dengan kesebatian air yang maha panas.

No comments: